GPMS: REALITI SUATU PENGKHIANATAN
Gabungan
Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sudah sinonim dengan perjuangan untuk membela pendidikan anak-anak Melayu. Sejak daripada
penubuhannya pada tahun 1948 GPMS tidak lagi toleh ke belakang malah terus maju dalam memastikan perjuangan membela nasib
pendidikan anak-anak Melayu terus terbela. Petubuhan pelajar pertama di negara ini yang diilhamkan oleh lima orang mahasiswa
daripada Kolej Raffles & Kolej Perubatan King Edward, Singapura yang diketuai oleh Allahyarham Aminuddin Baki, Abdul Wahab
Arif, Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Siti Hasmah Mohd Ali telah menjadi wadah perjuangan sehingga ke saat ini.
Namun demikian, retorik perjuangan yang sekian
lamanya cerah, kini diiring gerimis. Sedikit terkilan ketika mana muncul pula golongan-golongan insan yang ‘mempergunakan’
wadah suci ini untuk kepentingan dan kerakusan peribadi. Bertambah sedih pula apabila pencabulan ini langsung tidak mencerminkan
peribadi seorang intelek Melayu yang selama ini diperjuangkan oleh GPMS. Timbul persoalan di manakah letaknya karisma barisan
kepimpinan yang selama ini diberi sokongan penuh oleh pihak akar umbi yang dipilih untuk menerajui perjuangan ini juga bukan
calang-calang orangnya. Suatu ketika dahulu menjadi idola ribuan belia dan mahasiswa Melayu.
Bermula
dari desas-desus, bisik-membisik, kini jelas kepimpinan yang selama ini diberi amanah secara terang-terangan gagal melaksanakan
tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan. Lebih buruk lagi apabila lapangan perjuangan ini dijadikan arena untuk membela
bukan aspirasi perjuangan, tetapi bagi memastikan kedudukan dan kasta yang disandang tidak jatuh ke tangan orang lain. Laporan
Buletin Utama (TV3) menyatakan bahawa Presiden GPMS, Dato’ Suhaimi Ibrahim betindak memecat Timbalan Presiden, Saudara
Shahril Rejab dan bekas Setiausaha Agung, Saudara Syed Anuar Syed Mohamad serta menggantung seorang Ahli Majlis Tertinggi,
Saudara Jais Abdul Karim. Dalam terkilan kami tertawa melihat akan betapa dangkalnya tindakan yang dibuat tanpa merujuk kepada
Perlembagaan GPMS. Fasal 11.5 Perlembagaan GPMS memberikan hak kepada ahli yang dipecat untuk diberitahu akan sebab-sebab
pemecatan dan di beri tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan. Akan tetapi pemecatan yang terus dihebohkan dengan bangganya
kepada media massa sebenarnya adalah tidak sah menurut Perlembagaan GPMS. Modus operandi yang bersifat keperibadian terserlah
apabila keputusan yang sepatutnya diluluskan oleh majoriti Majlis Tertinggi GPMS dilakukan oleh segilintir Majlis Tertinggi
yang dikepalai oleh Presiden sendiri. Mereka yang dipecat juga tidak dimaklumkan tentang mesyuarat Majlis Tertinggi yang di
pengerusikan oleh Dato’ Suhaimi Ibrahim.
Kami
dimaklumkan bahawa Pejabat Sekretariat Pendidikan GPMS yang dipengerusikan oleh Saudara Jais Abdul Karim yang turut digantung
keahliannya telah dipecah masuk pada hari yang sama pemecatan yang tidak sah ini diumumkan. Dokumen-dokumen penting berkaitan
aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Sekretariat Pendidikan GPMS lesap. Dokumen-dokumen tersebut membuktikan bahawa program-program
yang dilaksanakan adalah hasil daripada kelolaan Sekretariat Pendidikan GPMS dan bukannya program yang dijalankan oleh GPMS
kebangsaan. Tidak kira siapa dan mengapa, kami begitu kecewa dengan percaturan politik kotor yang cuba direncanakan oleh pihak-pihak
tertentu di dalam GPMS. Adakah mungkin kejadian-kejadian yang berlaku ini adalah usaha untuk meneruskan survival politik pihak-pihak
tertentu yang keterampilannya kian kabur di pandangan mata ahli-ahli GPMS. Apa kata ‘orang lama’ GPMS yang suatu
masa dahulu gah dengan kejayaan hasil perih keringat mereka untuk memperjuangkan agenda perjuangan pelajar-pelajar Melayu.
Kami generasi baru GPMS berasa malu untuk berhadapan dengan realiti yang berlaku yang seolah-olah menidakkan keunggulan perjuangan
yang telah terbina sejak sekian lamanya.
Sampai bilakah mendung ini akan berarak pergi.
Tiada apa yang baru bagi GPMS. Bangunan Sekretariat GPMS Kebangsaan tidak lebih dari sekadar teratak usang yang hanya menunggu masa untuk menyembah bumi. Ditambah lagi dengan penyaksian pengebumian beberapa
cawangan GPMS yang hidup segan, mati tak mahu. GPMS bukan lagi menjadi pencetus wacana, tetapi hanya ibarat murai yang pandai
berkata. Jasa dan budi yang ditaburkan GPMS selama ini tidak sepatutnya dibalas dengan tuba yang sebegini hina. Kembalikanlah
‘Gerakan Obor’, kembalikanlah ’orang
lama’ ke pangkuan kami, kami merindui jasa dan bakti mereka. Insan-insan sebegini yang amat kami dambakan untuk
terus menyokong serta memberikan nasihat dalam memastikan kami berada di landasan yang benar. Kami tidak perlukan golongan-golongan
mereka yang menyalahgunakan dasar perjuangan selama ini untuk kepentingan peribadi.
Rasulullah
S.A.W Bersabda ;
“Apabila tampuk kepimpinan itu diserahkan kepada mereka yang tidak sepatutnya (tidak layak),
maka tunggulah saat kebinasaan,”
Hanya satu harapan kami, pulangkan GPMS yang sebenarnya ke pangkuan anak-anak
Melayu yang rindukan gerakan perjuangan demi membela masa depan bangsa yang tercinta. GPMS memerlukan angin baru perubahan
yang lebih menyegarkan. Kuasa untuk membawa perubahan yang didambakan ini terletak di tangan setiap ahli GPMS yang masih lagi
sedar dan merasakan akan perlunya kesinambungan perjuangan ini diteruskan.
Firman
Allah s.w.t ;
“Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri (yang
berusaha) untuk mengubahnya”
Kembali Kepada Asas Perjuangan,
Suatu kewajipan!
Petikan Daripada Caw Khas UIA |