GPMS (Batu Kawan Penang)

Berita Terkini

Muka Depan
Ahli GPMS
Asas GPMS
Berita Terkini

Reezal sokong serah kepada pelajar tetapi selepas pemulihan GPMS

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Reezal Merican Naina Merican pada prinsipnya bersetuju dengan saranan agar kepimpinan badan itu diserahkan kepada golongan pelajar.

Bagaimanapun katanya, bagi menghadapi krisis pada masa ini, proses pemulihan besar-besaran ke atas pengurusan GPMS perlu dilakukan terlebih dahulu.

Dalam hubungan ini, menurut Reezal, beliau sedia memikul amanah untuk menerajui sementara GPMS atas desakan akar umbi sebelum menyerahkan kepada golongan pelajar.

Jelasnya, proses pemulihan tersebut adalah penting bagi memastikan idealisme pelajar yang terdapat dalam mukadimah GPMS terus segar dan subur.

``Pada dasarnya saya bersetuju GPMS dipimpin oleh golongan mahasiswa.

``Namun, buat masa ini, GPMS memerlukan satu proses pemulihan yang besar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Reezal mengulas gesaan bekas Setiausaha Pendidikan GPMS (1956-1959), Prof. Datuk Kamarudin Kachar semalam supaya beliau dan penyandang, Datuk Suhaimi Ibrahim digesa melupakan sahaja hasrat bertanding jawatan presiden badan itu dan menyerahkan kepimpinan sepenuhnya kepada golongan pelajar.

Kesediaan kedua-dua mereka untuk melaksanakannya dianggap sebagai `pengorbanan suci' demi kepentingan anak bangsa dalam bidang pendidikan.

Sebelum ini, bekas Presiden GPMS, Wan Ahmad Nasir Wan Hassan (1971-1972) mendesak fungsi pertubuhan itu dikembalikan kepada bentuk asal yang dipimpin oleh golongan pelajar dan bebas dari sebarang pengaruh politik.

Menurut Reezal, proses pemulihan yang perlu dilakukan itu adalah pertama, mengadakan segera persidangan agung tahunan kerana tempohnya telah melewati enam bulan.

Jelasnya, ia adalah perkara paling penting dilaksanakan kerana telah melanggar perlembagaan pertubuhan itu sebagaimana yang telah dinasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

``Mandat perlu diserahkan kepada ahli yang mempunyai hak mutlak menentukan kepimpinan GPMS.

``Sebarang usaha melambatkan persidangan atau menangguhkan pemilihan merupakan pencabulan perlembagaan,'' katanya.

Kedua, tambah beliau, memulihkan kedudukan kewangan GPMS yang dilanda hutang-piutang yang agak menyulitkan.

``Perkara yang terakhir adalah memulihkan pentadbiran gabungan itu di peringkat pusat yang pada waktu ini dalam keadaan kelam-kabut supaya dapat selari dengan perkembangan dan pembangunan di peringkat negeri dan cawangan,'' katanya.

02 November 2005

wazii@time.net.my

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung ( GPMS - Caw Batu Kawan = Pulau Pinang )